Peniaga rugi lebih RM97,000 terpedaya tawaran tender tidak wujud

PEKAN - Seorang peniaga kedai perkakasan kerugian lebih RM97,000 selepas terpedaya dengan tawaran tender pembekalan kerusi dan meja 'stainless steel' murah ditawarkan 'guru' wanita kononnya dari sebuah sekolah di sini.Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, peniaga wanita berusia 44 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu menggunakan nama 'Puan Hatsya' pada 8 Januari lalu.Menurutnya, suspek yang mendakwa dirinya guru di sebuah sekolah menawarkan tender membekalkan 60 unit meja dan kerusi untuk kegunaan sebuah sekolah menengah di Muadzam Shah dengan harga tawaran RM168,000."Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa terus berurusan dengan pembekal itu melalui aplikasi Whatsapp dan bersetuju untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak 25 peratus."Seterusnya mangsa telah membuat pembayaran melalui 14 transaksi pindahan wang secara berperingkat ke akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM97,500," katanya melalui kenyataan pada Isnin.Mohd Zaidi berkata, setelah bayaran dibuat, mangsa diminta datang ke Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk menerima cek bayaran seperti yang dijanjikan."Bagaimanapun mangsa mula curiga apabila suspek atau wakil tidak datang ke tempat dijanjikan."Wanita itu hanya menyedari ditipu selepas bertanya seorang pegawai yang ditemui sebelum dia diberitahu tiada tender pembekalan seperti itu dikeluarkan," katanya.Jelasnya, selepas menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan."Orang ramai yang ada menerima panggilan meragukan diminta segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan."Buat semakan awal nombor akaun digunakan melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan," nasihatnya.Tambah beliau, sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, individu terlibat diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.