KUALA LUMPUR - Lelaki yang maut dalam kejadian letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara di sini disahkan seorang penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani Latihan Industri (LI).Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTAR, Profesor Dr Chang Yoong Choon berkata, mangsa adalah penuntut di jabatannya dan menjalani LI pada minggu terakhir."Mangsa adalah penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan kini sedang menjalani LI selama tiga bulan."Minggu ini, adalah minggu terakhir dia menjalani latihan industri sebelum menamatkan program," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada Isnin.Mengulas mengenai bantuan kepada keluarga mangsa, Yoong Choon berkata, UTAR menyediakan perlindungan insurans kepada semua penuntut meliputi sebarang kemalangan termasuk kecederaan dan kematian."Universiti akan menguruskan dokumentasi berkaitan dan mengemukakan tuntutan kepada pihak insurans."Pihak pengurusan juga akan memberikan sokongan penuh termasuk bantuan berkaitan urusan pengebumian," katanya.Beliau menegaskan UTAR komited untuk membantu keluarga mangsa sehingga semua urusan selesai dan akan menghormati keputusan keluarga berhubung pengurusan jenazah.Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas pendingan hawa di sebuah universiti swasta kira-kira jam 11.40 pagi tadi.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Soo Yu Juan berusia 24 tahun.