KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Isnin diberitahu bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad meminta syarikat Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB) membayar wang berjumlah RM19 juta secara 'lump sum' kerana syarikat itu telah memperoleh projek berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).Ketua Pegawai Operasi NSB, Azman Kamaruddin, 45, berkata, Pengarah Urusan NSB Wan Azhar Mohamed Yusof memberitahunya bahawa bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu meminta ‘portion’ lima peratus daripada nilai projek tender terbuka Pra-Kelayakan, Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM, yang kontrak itu berjumlah RM381 juta."Wan Azhar turut maklumkan kepada saya bahawa tujuan pembayaran ‘portion’ lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir adalah kerana syarikat NSB telah memperoleh projek tender tersebut."Saya tidak tahu berkaitan saluran atau melalui syarikat mana untuk pembayaran ‘portion’ lima peratus ini," katanya menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir, 43, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, pada mulanya, Wan Azhar memaklumkan kepadanya bahawa Sayed Amir Muzzakkir meminta untuk ‘portion’ lima peratus itu dibayar secara 'lump sum' selepas tiga atau empat bulan dari tarikh Surat Setuju Terima, iaitu lebih kurang RM19 juta."Namun, Wan Azhar tidak setuju untuk membuat bayaran secara 'lump sum' kerana syarikat NSB tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar sejumlah wang RM19 juta kepada Sayed Amir Muzzakkir."Oleh sebab itu, Wan Azhar mencadangkan untuk membayar kepada Sayed Amir Muzzakkir secara berperingkat," katanya.Menurut Azman, pada awal 2021, Wan Azhar memaklumkan kepadanya bahawa beliau pernah berjumpa dengan Sayed Amir Muzzakkir, namun tidak tahu berapa kali mereka pernah berjumpa dan tujuan perjumpaan tersebut kerana beliau (Azman) tidak terlibat dalam perjumpaan itu."Saya percaya bahawa Sayed Amir Muzzakkir yang membantu syarikat NSB untuk mendapatkan tender projek tersebut kerana dia merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu. Oleh demikian, Wan Azhar terpaksa membayar Sayed Amir Muzzakkir."Berkaitan dengan bayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir, saya hanya dimaklumkan oleh Wan Azhar bahawa pembayaran telah dibuat tetapi saya tidak tahu secara terperinci setakat mana bayaran telah dibuat."Saya sahkan bahawa hanya Wan Azhar yang menandatangani cek atau meluluskan bayaran 'online' untuk pembayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir. Saya tidak pernah terlibat dalam urusan pembayaran ‘portion’ lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir," katanya.Menurut Azman, sebagai pengarah projek berkaitan tender RMPNet PDRM, beliau terlibat dalam penyediaan dokumen tender Pre-Qualification (Pre-Q) dan tender RMPNET bersama pekerja-pekerja lain."Selepas itu, saya yang menghantar dokumen tender ke Kementerian Dalam Negeri pada awal tahun 2020. Selain itu, saya bertanggungjawab untuk memastikan segala operasi di lapangan berjalan dengan lancar dan saya ditugaskan untuk mengawal selia proses penyediaan sebut harga dan proses tuntutan kepada pihak PDRM," katanya.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi, Fatin Farhana Ismail dan Atirah Mohd Azuarizanuddin manakala tertuduh diwakili peguam Md Yunos Shariff dan Asmadi Hussin.Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.Wang itu didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM381,112,042.44.Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pada 4 petang, 4 Disember 2020, dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan yang serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, pada 4 petang awal Disember 2020.Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok. - Bernama