Remaja lemas ketika cuba selamatkan rakan

KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Sedim di Kampung Baru Jemerli dekat sini petang Isnin.Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Haziq Danish Mohd Hafizul Khairi bersama-sama lima rakannya ke sungai itu untuk mandi sebelum seorang rakannya hampir lemas."Polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian lemas di Sungai Sedim pada 4.40 petang."Semasa sedang mandi, mangsa cuba menyelamatkan seorang daripada rakannya yang hampir lemas, bagaimanapun rakan mangsa dapat memegang dahan pokok berhampiran tetapi mangsa hanyut dibawa arus," katanya menerusi kenyataan media malam Isnin.Beliau berkata, rakan-rakan mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada orang kampung yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian."Mangsa ditemukan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak lebih kurang 50 meter dari tempat mangsa mandi."Orang kampung telah membawa naik mangsa ke tebing sungai dan menghubungi talian 999."Pada 5 petang, pasukan bomba dan polis tiba di lokasi dan bantuan pernafasan cuba diberikan kepada mangsa, namun tiada tindak balas," katanya.Zulkifli berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada 5.20 petang."Siasatan lanjut mendapati tiada unsur mencurigakan berhubung insiden tersebut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya. - Bernama