KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada reman bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dilanjutkan atau sebaliknya bagi siasatan kes tender perolehan bergantung kepada keperluan siasatan.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih mempunyai tempoh satu hari lagi sebelum reman terhadap bekas Panglima Tentera Darat itu tamat pada Rabu."Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu buat masa ini kerana masih berbaki satu hari kerana ia perlu disemak dengan pegawai penyiasat."Sebenarnya kita mempunyai tempoh maksimum 14 hari reman. Jika esok (Rabu) genap tujuh hari (reman) dan jika siasatan memerlukan masa tambahan, kita akan memohon lanjutan reman di mahkamah," katanya selepas ditemui dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026.Ketika ditanya adakah ada pegawai ATM lain akan disiasat, Azam menjelaskan perkara itu akan dimaklumkan dalam sidang akhbar beliau pada Khamis."Perkara itu saya akan jelaskan kepada anda semua kemudian. Saya akan kemas kini pada 15 hari bulan," ujarnya.Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM menahan reman bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia.Pegawai terbabit direman tujuh hari sehingga 14 Januari, manakala isteri pertama selama tiga hari sehingga 10 Januari dan isteri kedua selama enam hari sehingga 13 Januari.Dalam hujahan di Mahkamah Majistret Putrajaya, Pegawai Penyiasat SPRM memohon perintah reman terhadap suspek utama bagi tempoh tujuh hari atas alasan siasatan melibatkan dakwaan penerimaan wang rasuah secara terancang yang dipercayai melibatkan rangkaian rasuah lebih luas serta kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain.Permohonan reman turut dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti dan merujuk sejumlah besar dokumen berkaitan perolehan serta mengesan aset serta proksi yang disyaki digunakan.