Buruh didenda RM7,500 pukul kenalan guna besi, sepana

KOTA BHARU - Seorang buruh didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah memukul seorang kenalan menggunakan besi dan sepana.Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Amirul Asyraf Mohd Asri, 26.Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Asyraf Kamaruddin, 26, menggunakan senjata di sebuah rumah berhampiran Masjid Kampung Paya Rambai di sini pada jam 1 pagi, 8 Januari lalu.Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga mekanik sedang membaiki motosikalnya didatangi tertuduh bersama seorang lagi individu dalam keadaan tidak berpuas hati dan bertindak memukul bahagian kepalanya.Pukulan menyebabkan mangsa mengalami luka di dahi.Tertuduh kemudian ditahan polis pada 9 Januari lalu di sebuah rumah di Kubang Sepat, Tendong.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Pada prosiding itu, tertuduh memohon hukuman ringan dan mengaku insaf atas kesalahan yang dilakukan.Muhammad Syamsul Ikhmal bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.Mahkamah kemudian mengenakan denda RM7,500 dan menetapkan penjara setahun jika tertuduh gagal membayar denda.