JOHOR BAHRU – Anggota polis yang tular kerana bertindak menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling di sini pada Ahad lalu, tidak dibenarkan terlibat dengan penugasan operasi.Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, arahan berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan.Jelasnya, insiden yang tular itu berlaku ketika satu operasi trafik membanteras aktiviti merempit sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di kawasan Taman Perling."Anggota berpangkat konstabel terbabit bercuti pada hari tersebut, namun telah dipanggil bertugas bagi menyertai operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), namanya ada dalam senarai penugasan."Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, cuma semasa kejadian difahamkan anggota cuba menahan motosikal ditunggang mangsa yang cuba melarikan diri, kemungkinan secara spontan berlaku insiden tamparan," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.Mengulas lanjut, penunggang motosikal berusia 21 tahun itu telah membuat laporan polis kira-kira jam 8 malam, Ahad."Polis telah jalankan siasatan awal sebelum laporan dibuat mangsa kerana salah seorang anggota polis yang turut berada di lokasi juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan."Setakat ini, seramai empat saksi termasuk mangsa dan anggota polis berkenaan telah dipanggil untuk dirakam percakapan untuk membantu siasatan."Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Kes akan dirujuk ke Bahagian Pendakwaan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," katanya.Sebelum ini, tular video berdurasi 32 saat memaparkan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki bersama seorang wanita dihampiri sebuah motosikal dari sebelah tepi.Kemudian datang seorang lelaki memakai topi keledar menampar muka penunggang motosikal itu.Lelaki yang menampar itu kemudiannya dilihat mengeluarkan dompet dari kocek seluar dan menunjukkan kad kemungkinan anggota polis kepada penunggang motosikal sebelum mereka beredar dari stesen minyak tersebut.