Premis jual rokok di kawasan larangan dekat sekolah didenda RM30,000

KEMAMAN – Sebuah kedai serbaneka didenda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas kesalahan menjual produk tembakau di kawasan larangan berhampiran sebuah sekolah di daerah ini.Hukuman itu diputuskan oleh Majistret Marsha Abdul Malik selepas pengurus syarikat premis berkenaan selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.Mengikut pertuduhan, premis tersebut didapati menjual produk tembakau dalam kawasan yang terletak kurang daripada 40 meter dari pagar sebuah sekolah di Jalan Jakar, di sini.Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 11 pagi pada 14 April lalu di premis berkenaan.Berikutan itu, kedai serbaneka tersebut didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).Mahkamah kemudiannya memerintahkan premis itu didenda RM30,000 atau berdepan hukuman tujuh bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.Kes berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Azman Mohd Ramli bersama Alias Awang Kechik.