KUALA KANGSAR – Tujuh lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 238 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kampung Bukit Gantang di sini pagi Rabu.Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.33 pagi.Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.10 pagi."Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki, sebuah pacuan empat roda Isuzu D-Max dinaiki dua lelaki dan sebuah lori Mitsubishi Canter yang dinaiki dua lelaki."Kesemua tujuh mangsa mengalami kecederaan namun tidak tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Shazlean berkata, setibanya di lokasi, ketua operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota melaksanakan rawatan awal kepada mangsa.Katanya, Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Bomba (EMRS) telah memasang ‘cervical collar’ (C-collar) kepada semua mangsa sebagai langkah keselamatan sebelum mereka dibawa ke hospital.Menurutnya, kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran menggunakan EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).Tambahnya, operasi melibatkan 11 anggota itu berjaya dikawal pada jam 8.30 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.01 pagi.