Empat ASP, dua sarjan direman lima hari bantu siasatan kes rasuah

GEORGE TOWN - Empat pegawai kanan polis serta dua sarjan, termasuk seorang pesara, direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes rasuah dan cubaan melindungi kegiatan pusat hiburan, pusat urut dan judi haram di negeri ini.Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 40-an hingga 60-an itu dikeluarkan oleh Majistret Shyahirah Abdul Salim bermula Rabu hingga 18 Januari ini.Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini ialah tujuh orang, selepas seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) ditahan pada Selasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM27,000.Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren, serta diiringi pegawai penyiasat.Difahamkan, dua suspek berpangkat ASP masing-masing berusia 45 dan 56 tahun diwakili peguam A Mahesh dan K Mahendran, manakala selebihnya diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).Menurut sumber, kesemua mereka ditahan antara jam 11 pagi hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang."Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pusat hiburan, pusat urut dan aktiviti judi haram yang melanggar undang-undang."Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2016 hingga 2021, dengan bayaran rasuah diterima antara RM500 hingga RM2,000 setiap bulan."Suspek disyaki menerima wang tersebut melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun pihak ketiga, dipercayai daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan perkhidmatan kesihatan manusia," katanya.Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.