Pengarah syarikat warga Bangladesh didenda RM50,000 guna dokumen palsu

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh menggunakan dokumen palsu bagi projek pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) tiga tahun lalu mengundang padah apabila didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.Mohammed Jasim, 42, yang memakai jubah berwarna hijau, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.Mahkamah memerintahkan bapa kepada lima anak itu dipenjara selama satu tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut."Saya berharap hukuman terbabit menginsafkan kamu supaya menghormati undang-undang negara ini," kata hakim.Program RTK 2.0 merupakan inisiatif khas kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyusun semula keberadaan PATI dengan memberi peluang kepada mereka menjadi tenaga kerja di bawah majikan yang berdaftar secara sah.Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat anugerah bertarikh 1 Julai 2023 bagi projek cadangan tambahan dan perubahan pada bangunan kondominium, Jalan Tun Razak di sini.Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Penguatkuasa Putrajaya, Jabatan Imigresen Malaysia, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya pada 27 September 2023.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Mengikut fakta kes, JIM mengeluarkan e-mel kepada syarikat tertuduh, Nisa Resources Sdn Bhd bertarikh 18 September 2023, bagi penetapan temu janji bagi permohonan RTK 2.0 yang dibuat syarikat itu untuk pekerja sektor pembinaan seramai 14 pekerja melalui Sistem Temu janji Online (STO).Tertuduh melalui isterinya yang juga salah seorang pengarah syarikat berdaftar bagi Nisa Resources telah mengemukakan surat Permohonan Temu janji 'thumbprint' bagi Program RTK 2.0 untuk semua pekerja sektor pembinaan syarikat itu berserta senarai pekerja atau PATI bertarikh 27 September tahun sama.Semasa di Bahagian Penguatkuasa Putrajaya, tertuduh melalui isterinya secara tidak jujur menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat anugerah dari Syarikat Orion Management Corporation.Dokumen itu kemudiannya telah disahkan palsu oleh pihak The Orion Condominium Management Corporation yang mengesahkan bahawa projek tidak wujud, format kepala surat juga salah dan mereka tidak pernah berurusan dengan Nisa Resources.Susulan itu, tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen yang digunakan tersebut adalah suatu dokumen palsu.Semakan lanjut yang dibuat dengan pihak JIM terhadap permohonan RTK 2.0 syarikat tertuduh juga mendapati daripada 14 pekerja asing yang dipohon, hanya 12 sahaja pekerja asing yang diluluskan permohonannya.Semasa prosiding, peguam, Farith Emier Farhan Morni merayu anak guamnya diberi denda sahaja tanpa penjara.Menurutnya, anak guam telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan."Setelah dihubungi pihak berkuasa, dia sanggup mengambil penerbangan dari Bangladesh pada November tahun lalu."Dia mengalami kesukaran untuk bergerak dan membuat kerja berat kerana baru sahaja menjalani pembedahan tulang belakang," katanya menambah bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau, perlu menanggung lima anak bersama isteri yang juga suri rumah.Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memohon mahkamah mengambil kira fakta kes iaitu tertuduh telah mengkhianati kepercayaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dengan menggunakan dokumen palsu bagi projek terbabit."Dia menggunakan dokumen berhubung kerjasama dengan JIM, seolah-olah mencabar kedaulatan negara."Pada asalnya, PATI tidak boleh diputihkan dengan cara demikian, namun tindakan tertuduh menggunakan dokumen berkenaan umpama mensucikan golongan terbabit untuk bekerja di Malaysia," katanya.Susulan itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama sekali gus menjadi iktibar kepada orang awam agar tidak terjerumus dalam jenayah serupa.