KUALA LUMPUR - Simpanan untuk haji seharusnya tidak dilihat sebagai matlamat kewangan saat akhir sebaliknya satu perancangan jangka panjang yang menuntut disiplin dan persediaan kerohanian.Sehubungan itu, ahli ekonomi berpendapat simpanan haji wajar dijadikan sebagai azam tahun baharu yang bukan sahaja praktikal serta jelas malah boleh dicapai.Pensyarah Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, perancangan haji perlu berasaskan perancangan kewangan yang mengutamakan disiplin dan konsisten (istiqomah) berbanding persediaan jangka pendek."Dalam keadaan inflasi, simpanan haji perlu berterusan dan ditunjangi disiplin yang kuat. Golongan muda seharusnya mula menyimpan sejak awal kerjaya mereka lagi dan konsisten walaupun dalam jumlah yang kecil," katanya kepada Bernama.Beliau berkata, memperuntukkan serendah lima peratus daripada pendapatan bersih bulanan mereka sudah mampu membina asas simpanan yang bermakna untuk jangka masa panjang."Sebagai contoh, dengan gaji permulaan RM3,000 mereka boleh simpan lima peratus atau RM150 sebulan. Jika peluang untuk menunaikan haji tiba 20 tahun kemudian, mereka sudah ada simpanan sebanyak RM36,000 itupun tanpa mengambil kira dividen atau penambahan lain."Jadi, dengan purata dividen Tabung Haji sekitar 3.0 peratus, jumlah simpanan tersebut boleh mencecah hingga RM51,000," katanya.Dari prespektif ekonomi dan kewangan Islam, Nik Maheran berkata, memulakan simpanan lebih awal merupakan langkah terbaik, termasuk bagi mereka yang berpendapatan sederhana atau tidak stabil, kerana faktor masa mampu membantu mengurangkan tekanan kos pada masa hadapan.Beliau menambah dalam Islam, konsep "istita‘ah" atau kemampuan menunaikan haji merupakan satu perjalanan yang memerlukan perancangan dan usaha berterusan."Simpan dari awal dapat mengurangkan beban kewangan pada masa depan dan membantu dari segi memperkukuh kemampuan. Dalam kerangka "Maqasid Syariah", simpanan sedemikian merupakan satu bentuk sokongan dalam menjaga agama dan harta," katanya.Sementara itu, Pensyarah Perakaunan dan Percukaian Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, merangka simpanan haji sebagai satu perjalanan hidup dan bukan matlamat kewangan semata-mata, dapat membantu golongan muda terus komited, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.Beliau berkata, dengan menetapkan niat menunaikan haji dalam tempoh 10-20 tahun lagi sebagai azam tahun baharu, membantu individu itu untuk lebih bersedia dari segi kewangan, mental dan kerohanian."Haji tidak harus dilihat sebagai projek kewangan untuk sekali sahaja sebaliknya ia adalah perjalanan seumur hidup untuk menyucikan diri dan pengurusan rezeki secara bertanggungjawab," katanya.Dari sudut kewangan Islam, Barjoyai berkata, kerangka simpanan patuh syariah menawarkan bukan sahaja jaminan dari segi etika tetapi juga prinsip kesederhanaan (wasatiyyah)."Prinsip ini menekankan perkara seperti bebas daripada unsur riba, kebergantungan kepada aset produktif, keadilan dan amanah," katanya sambil menambah membuat pinjaman semata-mata untuk menunaikan haji patut dielakkan, selain keperluan keluarga dan tanggungjawab asas hendaklah diutamakan."Mengurangkan perbelanjaan impulsif dan mengamalkan gaya hidup sederhana membantu individu melindungi kestabilan kewangan dan membolehkan mereka fokus kepada kerohanian," katanya.Beliau juga menekankan peranan rutin kerohanian dan memperkukuh disiplin kewangan, dengan mencadangkan semakan simpanan secara berkala serta amalan sedekah dan pemperbaharui niat.Beliau berkata, bulan Ramadan dan Zulhijjah, merupakan tempoh terbaik untuk menilai semula komitmen simpanan dan menyusun semula keutamaan kewangan mereka."Menyimpan secara konsisten dalam jangka panjang bukan didorong oleh kewangan semata-mata tetapi juga mental dan kerohanian. Ini termasuk memperbaharui niat dengan menjadikan setiap ringgit yang disimpan sebagai iltizam untuk selangkah ke Tanah Suci, dan membina komuniti kecil untuk saling memberi sokongan serta galakan," katanyaPrinsip tersebut berjaya diterjemahkan seorang ahli farmasi, Nur Azra Pauzi, 42, yang mula menyimpan walaupun ketika itu beliau belum mempunyai rancangan khusus untuk menunaikan haji.Beliau membuka akaun Tabung Haji pada usia 25 tahun dan melakukan potongan gaji secara automatik, yang kemudian membantunya kekal konsisten walaupun berdepan perbelanjaan tidak dijangka seperti ketika anak dimasukan ke hospital dan membaiki kereta yang rosak."Sejujurnya, saya mula menyimpan bukan kerana untuk menunaikan haji pada waktu itu tetapi kerana ia mudah dan selamat, namun jauh di sudut hati memang saya mahu menunaikan haji pada usia muda iaitu ketika masih sihat," kata ibu kepada dua anak itu.Nur Azra berpeluang mengerjakan haji pada 2023."Mengerjakan haji pada usia masih muda membuatkan saya sedar betapa besar pengorbanan yang dilakukan...tetapi ia benar-benar berbaloi," katanya. - Bernama