'Luna mungkin lari ke Thailand' - Polis Kelantan

KOTA BHARU - Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan seorang wanita berusia 30-an dikenali sebagai Luna yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan rampasan bunga ganja di Kuala Krai pada Ahad sudah berada di Thailand.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak berkuasa di negara jiran itu untuk membantu mengesan dan menangkap wanita berkenaan."Kita sudah ke rumah keluarga suspek dan pemeriksaan mendapati dia tiada di lokasi."Polis percaya suspek sudah berada di seberang (Thailand)," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Rabu.Sebelum ini media melaporkan, polis memburu seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan dadah susulan penahanan tiga individu dan rampasan bunga ganja bernilai RM1.82 juta di Kuala Krai.Dalang sindiket berkenaan adalah seorang wanita yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan dan berpangkalan di negara jiran.Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, rampasan dadah minggu lalu itu hasil operasi JSJN Bukit Aman selama empat bulan menerusi Ops Agas yang turut mendedahkan bunga ganja dirampas dipercayai untuk pasaran antarabangsa.Susulan itu, Bukit Aman memohon bantuan Polis Thailand bagi mengesan 'Luna' tetapi setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenainya.Wanita berkenaan dipercayai berselindung di sebalik kedai makan bagi mengaburi kegiatan itu.