KOTA TINGGI – Seorang pemandu lori dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana dikesan memandu secara berbahaya di Kilometer (KM) 7.0, Jalan Perani–Lok Heng pada Selasa.Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.11 petang dan lori yang dipandu lelaki berkenaan turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987."Pihak polis telah mengesan paparan video yang tular di laman Facebook Orang Kota Tinggi yang memaparkan sebuah lori dipandu secara berbahaya hingga memasuki laluan bertentangan."Keadaan itu menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak."Bagaimanapun, pemandu lori terbabit yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun telah berjaya dikesan dan seterusnya ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Tambah Yusof, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif.Sementara itu, Yusof berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya."Sikap pemanduan secara berbahaya bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang, malah boleh mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa," katanya.