Dua beradik wanita dicekup isi petrol berulang

TUMPAT – Tindakan dua beradik wanita melakukan pengisian minyak petrol secara berulang di sebuah stesen minyak di sini membawa padah apabila mereka dicekup pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam Ops Gempur Barang Kawalan kira-kira jam 1.57 tengah hari pada Rabu.Timbalan Pengarah KPDN negeri, Aswadi Jaafar berkata, kegiatan mencurigakan itu dikesan hasil risikan pasukan yang mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira membuat pengisian petrol secara berulang sebelum bertindak mengekori kenderaan berkenaan.Menurut beliau, kenderaan tersebut diekori sehingga ke Kampung Jubakar Darat di sini sebelum pemeriksaan dijalankan dan mendapati ia dipandu oleh seorang wanita berusia 33 tahun bersama adiknya, 23, yang bertindak sebagai pembantu."Hasil pemeriksaan menemui lima tong jerikin disyaki berisi minyak petrol di dalam but kenderaan berkenaan."Kami turut menemui sebuah tangki minyak yang dipercayai telah diubah suai dan diperbesarkan bagi tujuan penyimpanan petrol," katanya ketika dihubungi pada Khamis.Menurut Aswadi, pihaknya menyita kenderaan terbabit berserta kunci, kira-kira 125 liter petrol dalam lima tong jerikin serta tambahan 125 liter petrol daripada tangki ubah suai, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 250 liter.Beliau berkata, kedua-dua wanita terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah ditangkap mengikut peruntukan akta yang sama."KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.