JOHOR BAHRU- Seorang rakyat Malaysia maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap di daerah Chaiya, Thailand, pada Rabu.Rakaman video kejadian nahas itu turut tular di media sosial.Mangsa, Izzat Izzuddin Onn,39, yang berasal dari Pontian, Johor cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital ChaiyaMenurut laporan Balai Polis Chaiya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi waktu tempatan apabila sebuah trak pikap Toyota dipandu penduduk tempatan dilaporkan menyeberang dari arah kiri jalan ke laluan pusingan U sebelum merempuh motosikal mangsa.Difahamkan, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap terbabit telah melarikan diri dari tempat kejadian, namun seorang penduduk yang menyaksikan insiden itu segera membuat laporan polis.Bertindak atas maklumat orang awam, pihak polis berjaya mengekori dan memberkas pemandu terbabit tidak lama kemudian.Ujian alkohol yang dijalankan ke atas pemandu pikap berkenaan mendapati bacaan sifar miligram, sekali gus mengesahkan suspek tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.Pihak polis Thailand memaklumkan pemandu tersebut akan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang tempatan atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.Sementara itu, waris mangsa yang berada di Johor dimaklumkan mengenai kejadian tragis tersebut pada tengah hari sebelum bergegas ke Thailand bagi menguruskan urusan dokumentasi dan membawa pulang jenazah.Dengan bantuan agensi pengurusan jenazah, segala urusan melibatkan sijil kematian, hospital dan pihak konsulat diselesaikan sebelum jenazah dibawa pulang ke Malaysia melalui jalan darat menerusi Sempadan Bukit Kayu Hitam.Jenazah kemudiannya dibawa ke Sungai Petani untuk urusan kafan dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah, Pontian.