Pengasuh didakwa sebabkan bayi perempuan cedera

TELUK INTAN - Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan minggu lalu.Tertuduh, Aisah Bee Zailapdin, 44, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Desa Bernam, Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk antara pukul 7.30 pagi hingga 2.05 petang pada 8 Januari 2026.Mengikut pertuduhan, wanita terbabit sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi perempuan berusia lima bulan, didakwa bertindak secara cuai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).Norhamizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai.Mahkamah menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula kes.