Ab Rauf akan pertimbang peletakan jawatan Akmal Saleh

KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan bakal menunggu surat rasmi peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Kerajaan Negeri itu.Bagaimanapun, Ab Rauf berkata, terpulang kepada dirinya sama ada ingin mempertimbang dan menerima peletakan jawatan itu atau sebaliknya.Beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan Dr Muhamad Akmal yang ingin meletak jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka."Sebagai ketua negeri, saya akan menunggu surat rasmi untuk dipertimbangkan sama ada saya menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak."Bagi saya, beliau berkarya cara pemuda. Saya akan meneliti dan menilai kaedah bagaimana untuk menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat," katanya ringkas.Ab Rauf berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di pekarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.Terbaharu, Sinar Harian melaporkan Dr Muhamad Akmal mengumumkan meletak jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan.Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk kekal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandangnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan bahawa dirinya tidak akan sesekali meninggalkan Pemuda UMNO, tetapi sanggup meletak jawatan dalam kerajaan negeri demi maruah parti.