Seleweng diesel, beli RM1.50 jual semula RM2

IPOH - Beli RM1.50, jual semula RM2!Itu taktik berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melibatkan sindiket penyelewengan diesel dalam kalangan pemandu lori di Kampung Kepayang pada Rabu.Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 9 malam itu mendapati, sindiket berkenaan memperoleh bekalan diesel pada harga RM1.50 seliter sebelum dijual kepada pihak industri khususnya kuari di sekitar Simpang Pulai dengan harga RM2 seliter.Menurutnya, sindiket terbabit menggunakan taktik bergerak pada waktu lewat malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, dengan bekalan diesel dipercayai diperoleh daripada beberapa stesen minyak berhampiran."Siasatan awal mendapati kegiatan ini turut melibatkan pemandu lori yang tidak amanah apabila menjual lebihan minyak diesel kepada sindiket secara haram."Minyak berkenaan kemudian dipindahkan terus ke dalam tangki tambahan yang diubah suai pada kenderaan sebelum diagihkan kepada pembeli di pasaran gelap," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan menemui 1,400 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki tambahan berkapasiti 2,000 liter pada sebuah lori tiga tan.Katanya, dua tangki IBC beserta pam turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM35,110."Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN akan terus melaksanakan penguatkuasaan melalui Inisiatif KITA GEMPUR sebagai langkah strategik kerajaan membanteras penyelewengan barang kawalan, penipuan perniagaan dalam talian, monopoli serta kewujudan kartel," katanya.