Rasuah perolehan Mindef: Dua pegawai tinggi ATM antara ditahan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rahsuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan (Mindef).Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tangkapan tersebut termasuk sembilan orang awam membabitkan kes sama."Kesemua individu disyaki menyalahgunakan dana TKAT untuk kepentingan peribadi serta aktiviti yang tidak berkaitan dengan TKAT. "Kes ini telah disiasat sejak 7 Oktober lalu dan kini berada di peringkat akhir untuk pertuduhan. Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, Seksyen 409 dan 165 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.Mengulas lanjut, Azam berkata, bilangan saksi yang dirakam percakapan setakat ini adalah seramai 35 orang."Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya."Insya-Allah akan selesai pada minggu hadapan dan kes kertas siasatan ini dikemukakan paling lewat kepada Timbalan Pendakwa Raya ialah pada hari Jumaat pada minggu hadapan untuk dibuat keputusan oleh pihak pendakwa raya dan juga akan dikemukakan juga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya.