KUALA LUMPUR - Seorang bekas ejen insurans didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu sebuah bank dengan menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM150,000, lapan tahun lalu.Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nadzri Ab Razak, 39, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, tertuduh membayar denda berkenaan.Mengikut pertuduhan pilihan pertama, Ahmad Nadzri didakwa menipu sebuah bank bagi mendapatkan pinjaman khas yang ditawarkan kepada pekerja LHDN, sekali gus mendorong institusi kewangan itu meluluskan pinjaman berjumlah RM150,000.Tertuduh juga didakwa menggunakan dokumen palsu, iaitu penyata gaji, penyata akaun Maybank, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyata cukai pendapatan tahunan, surat pengesahan majikan serta pas pekerja LHDN.Kesalahan itu dilakukan di bank terbabit di Wangsa Maju antara 8 pagi hingga 5 petang dalam tempoh 1 September 2018 hingga 31 Oktober 2018, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pegawai bank membuat laporan polis selepas menerima aduan daripada seorang kakitangan LHDN pada 24 Jun 2020, yang menerima surat daripada bank terbabit dialamatkan kepada individu yang bukan bekerja di LHDN.Siasatan pihak bank mendapati tertuduh, yang bukan kakitangan LHDN, menipu institusi kewangan berkenaan bagi mendapatkan pinjaman RM150,000 dengan menggunakan surat pengesahan majikan, penyata gaji, pas pekerja, borang cukai pendapatan dan penyata akaun bank palsu.Tertuduh ditahan pada 20 November 2023 dan siasatan polis mendapati tertuduh yang disenarai hitam berhasrat membuat pinjaman RM30,000 sebelum diperkenalkan oleh jirannya kepada seorang lelaki bagi menguruskan permohonan pinjaman itu.Tertuduh kemudian menyerahkan maklumat kepada lelaki terbabit yang seterusnya melantik seorang lagi individu untuk mengubah suai dokumen berkenaan sebelum tertuduh diarahkan bertemu pegawai bank bagi urusan permohonan pembiayaan.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa depan serta lebih berhati-hati ketika memohon pinjaman perbankan.Peguam Subash Ramasamy yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya hanya memainkan peranan kecil dalam kes itu selain ia merupakan kesalahan pertama tertuduh. - Bernama