Pegawai imigresen jadi ‘pemudah cara’ sindiket pasport

PUTRAJAYA - Seorang pegawai imigresen yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ antara lapan individu terbabit dengan sindiket pasport Malaysia ditahan dalam operasi khas di 10 lokasi di Perak, Melaka dan Johor pada Rabu.Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat awal dan risikan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak ke semua lokasi dan berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 32 hingga 61 tahun."Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ serta seorang lelaki yang merupakan pegawai imigresen dan bertindak sebagai ‘pemudah cara’ bagi melancarkan kegiatan sindiket tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Zakaria berkata, operasi bermula pada jam 10 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas yang dibantu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen negeri."Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor," katanya.Beliau berkata, pasukan operasi telah menyita empat sijil kelahiran, satu naskhah Pasport Malaysia, lapan unit telefon bimbit dan 13 salinan Borang Permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA)."Siasatan awal mendapati dua wanita dan seorang lelaki yang ditahan dipercayai telah menyamar sebagai ‘penjaga sah’ dan membawa sendiri kanak-kanak lelaki atau perempuan yang disyaki warga Sri Lanka ke Pejabat Imigresen bagi memohon Pasport Malaysia."Manakala tiga lelaki lain menggunakan kad pengenalan sendiri untuk permohonan PMA bagi kegunaan orang dewasa warga Sri Lanka," katanya.Zakaria berkata, bayaran yang diberikan oleh sindiket adalah sebanyak RM5,000 hingga RM7,000 bagi setiap PMA yang diperoleh melibatkan kanak-kanak atau orang dewasa."Kesemua yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut."Seramai tujuh lelaki dan lima wanita tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.