'Tak perlu doakan 'terkubur', kerajaan dan pembangkang perlu sama kuat' - Haim Hilman

SUNGAI PETANI - Kepimpinan parti seharusnya tidak berfikiran sempit dengan mendoakan parti lawan ‘terkubur’, sebaliknya lebih terbuka untuk bersaing secara sihat demi kestabilan politik dan pembangunan negara yang mampan.Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, realiti politik semasa memerlukan usaha penyatuan, bukan persaingan yang bertujuan menyingkirkan pihak lain."Saya sebenarnya suka melihat agar pemimpin tidak berfikiran sempit dengan mahukan lawan-lawannya semuanya berkubur."Saya lebih suka melihat lawan-lawan yang kuat dan sihat supaya ia dapat membina satu proses. Kalau tidak bersama pun sebagai gabungan, ia akan menjadi blok pembangkang yang kuat dan mantap, yang boleh melaksanakan ‘check and balance’ terbaik untuk negara kita. Itu yang kita perlukan," katanya.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berharap Pas akan terbubar suatu hari nanti.Haim Hilman ditemui media selepas merasmikan program E-Idaman Inspire Supervisory Programme Power-Up Series di sini pada Khamis.Beliau berkata, realiti politik semasa menyaksikan orang Melayu hari ini bersama Pas dan Perikatan Nasional, namun sumbangan serta peranan UMNO dalam sejarah dan pembangunan negara tidak boleh diketepikan."Kita seharusnya memberi fokus kepada usaha menyatukan, bukan memikirkan siapa yang perlu hilang daripada radar politik negara," ujarnya.Beliau yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Inovasi dan Teknologi Kedah berkata, Pas tidak berminat untuk melihat mana-mana rakan atau lawan politik ‘terkubur’, sebaliknya mengutamakan penyatuan demi kekuatan negara."Baik UMNO, Pas atau mana-mana parti, matlamat akhirnya ialah bersama-sama membentuk Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat," katanya.Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa Pas akan terus berkembang dengan pendekatan yang lebih terbuka, termasuk penglibatan golongan profesional dan teknokrat daripada pelbagai latar belakang."Hari ini Pas semakin terbuka. Ramai profesional dan teknokrat, termasuk mereka yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama, bersedia bekerja merentasi agama dan bangsa demi kelangsungan Kedah dan Malaysia," katanya.