BANGI – Amalan filantropi di Malaysia digerakkan dengan pendekatan baharu yang lebih profesional, berasaskan data dan berorientasikan impak, selari dengan perubahan global dalam landskap kemanusiaan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, filantropi tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada derma tradisional, sebaliknya perlu diperkasakan melalui kaedah yang lebih sistematik dan berkesan bagi memastikan manfaat sebenar sampai kepada golongan sasar.Filantropi merujuk kepada amalan menolong orang lain secara sukarela demi kebaikan masyarakat, namun pendekatan itu kini perlu berkembang seiring tuntutan kecekapan, ketelusan dan profesionalisme.Menurutnya, derma tradisional sahaja tidak mencukupi untuk memaksimumkan potensi filantropi, sebaliknya memerlukan penerokaan instrumen kewangan hibrid serta kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)."Hari ini, kita tidak boleh hanya bergantung kepada derma biasa semata-mata. Kita perlu menggunakan kaedah kewangan dan filantropi yang lebih kreatif untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) 2025 dan pelancaran kempen #HopeforGaza, di sini pada Khamis.Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim; dan Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan.Zulkifli menegaskan, derma tetap perlu diteruskan, namun ia sahaja tidak cukup untuk memantapkan potensi sebenar filantropi di negara ini.Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap organisasi filantropi perlu memastikan tadbir urus yang baik dan pengurusan berintegriti bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat.Sehubungan itu, katanya, setiap inisiatif kebajikan perlu digerakkan secara berasaskan data serta berorientasikan impak, dengan penilaian jelas terhadap keberkesanan bantuan yang disalurkan dan bukan sekadar bersifat simbolik."Kita tidak boleh hanya memikirkan soal optik untuk menunjukkan derma kepada orang lain, sedangkan sebenarnya tiada impak sebenar," ujarnya.Beliau turut memaklumkan bahawa agensi di bawah kementeriannya termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan YAPEIM diarahkan menawarkan latihan, kepakaran serta kursus kepada NGO.Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan pengurusan kewangan dan dana kebajikan dilaksanakan secara profesional, telus dan mematuhi standard yang ditetapkan."Walaupun kita melakukan kebaikan selama 100 tahun, jika sekali ada isu kemungkaran, ketidakjujuran atau penyelewengan, maka seluruh keyakinan dan kepercayaan masyarakat akan runtuh," katanya.Pada majlis berkenaan, Zulkifli turut menyempurnakan penyerahan simbolik bantuan Sinar Lestari dan bantuan pendidikan YAPEIM, selain menyampaikan sijil penghargaan kepada lebih 20 rakan strategik yang aktif menyumbang kepada usaha kebajikan yayasan itu.