Suami isteri maut dibunuh: Terdapat 11 kesan tikaman di leher, dada

KUCHING - Hasil bedah siasat melibatkan kes bunuh pasangan suami isteri di Taman Mutiara, Sri Aman, pada Rabu lalu mengesahkan kematian kedua-dua mangsa disebabkan kecederaan akibat luka tikaman.Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mengesahkan siasatan berhubung kes bunuh tersebut masih diteruskan secara menyeluruh dan terperinci.Menurutnya, bedah siasat telah dijalankan pada Khamis terhadap kedua-dua mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak oleh pakar patologi."Hasil bedah siasat ke atas mangsa lelaki, mendapati terdapat 11 kecederaan akibat objek tajam melibatkan bahagian leher dan dada. Sebab kematian disahkan sebagai kecederaan pada leher dan dada akibat luka tikaman."Manakala hasil bedah siasat terhadap isteri iaitu mangsa perempuan, mendapati terdapat luka tikaman di bahagian leher. Sebab kematian disahkan sebagai kecederaan pada leher akibat luka tikaman," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan kes tersebut pada Jumaat.Beliau berkata, setakat ini seramai 21 saksi telah dirakamkan keterangan, terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa."Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sepenuhnya."PDRM Kontinjen Sarawak ingin menegaskan bahawa siasatan masih dijalankan secara profesional, telus dan berasaskan bukti forensik serta keterangan saksi," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa dalam tempoh tersebut.Sebelum itu, mangsa lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berusia 44 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka pada awal pagi Rabu.Kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Difahamkan, mangsa lelaki, Andy Roy Anak Junran, merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebangki, manakala isterinya, Angelin Kibin, bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.Pasangan tersebut meninggalkan tiga orang anak masing-masing berusia sembilan, 16 dan 17 tahun.