PUTRAJAYA - Berani dan Radikal Perangi Rasuah menjadi slogan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun ini.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara ini hasil perbincangan secara bersama dengan pengurusan tertinggi suruhanjaya.Menurutnya, slogan ini melambangkan tindakan tegas, agresif dan berintegriti, selari dengan undang-undang."Kenapa perlu ada tagline (slogan) ini? Inilah situasinya sekarang (hari ini)."Kita perangi rasuah tanpa rasa takut. Saya jelaskan di sini, zaman kita semua ini, zaman saya dan tuan puan semua, kita cuba yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab," katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2026 dan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Rabu.Jelas Azam, beliau menyeru semua warga SPRM bersama melaksanakan tanggungjawab dengan tegas dan berkesan.Antara amanat yang ditekankan beliau ialah mengenal pasti bidang yang perlu diberi fokus dan penekanan selain pendekatan Risk-Based Approach melibatkan sektor berisiko tinggi seperti perolehan kerajaan, sempadan, dana awam dan kartel.Tambahnya, selain itu ialah pelaksanaan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) secara sinergi dan pemulihan aset hasil rasuah serta pemerkasaan pencegahan pengubahan wang haram, penyiasatan berpusat dan pematuhan piawaian antarabangsa."Turut perlu diberi perhatian ialah pendekatan penyiasatan berteraskan teknologi melalui kecerdasan buatan (AI), data analitik dan forensik digital," ujarnya.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, tahun lalu dalam tempoh 11 bulan setakat November, SPRM berjaya merekodkan nilai sitaan, kompaun, lucut hak dan pemulihan aset mencecah RM8.4 bilion.Dalam tempoh itu, 966 kertas siasatan dibuka selain 1,128 tangkapan dilakukan seterusnya membawa kepada 445 pertuduhan dan 189 sabitan di mahkamah.Berdasarkan analisa tangkapan menunjukkan sektor swasta mencatat jumlah tertinggi dengan 504 individu, diikuti penjawat awam (423 orang), orang awam (163), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seramai 34 orang dan empat ahli politik.Antara kes utama yang disiasat SPRM ialah kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain operasi Op Rentas, Op Tiger, Op Metal, Op Grip, Op Karen, Op Sky dan Op Sohor.