Kontroversi forum Gaza: Nadir Al-Nuri tawar wartawan FMT sertai misi ke Gaza

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bersedia memberi peluang kepada wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan untuk menaiki bot ke Gaza.Muhammad Nadir Al-Nuri yang juga mengetuai panji Sumud Nusantara berkata, menerusi pelayaran itu, Rex Tan mungkin dapat merasai pengalaman dan kesengsaraan rakyat negara tersebut."Saya mewakili Sumud Nusantara Official menyediakan satu kerusi khas untuk Rex Tan menaiki bot ke Gaza."Ia bagi mengenali keperitan sebenar mereka di sana," ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.Sebelum ini, Rex Tan mencetuskan kontroversi apabila mengajukan soalan yang dikatakan mempunyai unsur perkauman dalam satu wacana terbuka pada Isnin.Wacana yang bertajuk 'Gaza Exposes the Complicity of International Actors' itu turut menampilkan ahli politik UK, George Galloway.Susulan itu, Rex Tan pada Jumaat memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang diajukan.Dalam kenyataan, Rex Tan menyatakan rasa kesal mendalam terhadap soalan yang dirangka dengan tidak baik itu, mengakui bahawa soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik tersebut.Beliau khususnya memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan tersebut tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.