SEREMBAN - Seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di daerah ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki pada tahun 2024 dan 2025.Tertuduh, Mohamad Kamal Nik Ismail, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan perkara tidak senonoh ke atas empat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.Kesalahan berkenaan dilakukan di Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), bilik guru dan sebelah dewan sebuah sekolah di Senawang antara bulan Jun 2024 hingga September 2025.Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Sekyen 41(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat-syarat tambahan.Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum serta memaklumkan sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak.Dia kini ditempatkan sementara di sebuah pusat kegiatan guru sejak bulan lalu.Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM9,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan hingga kes selesai.Sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen pada 23 Februari depan.