177 aduan kemunculan pak belang tahun lepas - Perhilitan

SHAH ALAM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima sebanyak 177 aduan berkaitan kemunculan harimau belang (Panthera tigris jacksoni) di seluruh negara pada tahun lalu.Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daripada jumlah aduan tersebut, tiga ekor harimau berjaya ditangkap.Menurutnya, tangkapan itu dilakukan di Perlop, Perak; Kota Gelanggi dan Chini di Pahang."Tangkapan harimau hanya dilaksanakan sekiranya haiwan tersebut berisiko menyebabkan kematian tinggi terhadap ternakan atau mengancam keselamatan nyawa penduduk berhampiran."Antara punca harimau memasuki kawasan penempatan termasuklah pengecilan habitat akibat pembukaan kawasan hutan, serta kekurangan sumber makanan seperti babi hutan yang mati akibat penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Beliau berkata, sebagai langkah menangani isu ini, Perhilitan melaksanakan khidmat nasihat kepada penternak untuk mengurung haiwan ternakan, selain memasang perangkap kamera bagi memantau pergerakan harimau di lokasi-lokasi konflik.Tambahnya, penduduk di kawasan yang terlibat dengan aduan dinasihatkan agar mengelakkan bekerja secara bersendirian, khususnya di kawasan ladang atau kebun yang berhampiran dengan hutan."Pastikan ternakan dikurung pada waktu malam terutamanya jika berhampiran kawasan hutan. Elakkan daripada melakukan provokasi sekiranya terserempak dengan harimau dan segera maklumkan kepada pejabat Perhilitan berhampiran sekiranya ternampak atau menemui sebarang kesan kehadiran harimau," ujarnya.Dalam pada itu, Abdul Kadir turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukan jenayah hidupan liar."Mana-mana individu yang memburu, menyimpan atau mengambil hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), seperti harimau belang, tanpa permit khas, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya," katanya.Baru-baru ini, tular insiden serangan harimau belang terhadap ternakan penduduk di Felda Perlop 1, Sungai Siput, Perak.Selain itu, turut tersebar rakaman video menunjukkan ngauman harimau berhampiran Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City dekat Tanjong Malim.