BESUT – Tujuh lelaki berusia antara 17 hingga 32 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di daerah ini dan di Terengganu.Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, perintah reman sehingga 18 Januari depan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Besut selepas kesemua suspek ditahan dalam satu operasi khas awal pagi Jumaat.Menurutnya, tangkapan dibuat menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kira-kira jam 1 pagi di Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk Kampung Padang Luas, Kampung Padang Landak dan Kampung Lak Lok."Dalam operasi itu, seramai tujuh lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain."Sebanyak tujuh buah motosikal yang digunakan oleh suspek turut dirampas bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan.Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti samseng jalanan dan lumba haram.Katanya, kegiatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengancam nyawa penunggang serta pengguna jalan raya lain."Orang ramai, khususnya golongan remaja dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama," ujarnya.