MCA beri jaminan tidak tinggalkan BN

KUALA LUMPUR – MCA memberi jaminan untuk terus kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) berdasarkan semangat persefahaman yang terjalin sejak awal penubuhan gabungan itu.Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, parti itu tidak pernah mempunyai hasrat untuk keluar daripada BN kerana merupakan salah satu parti pengasas gabungan berkenaan."Bagi pihak MCA, kami merupakan parti pengasas BN. Jadi, persoalan itu tidak wujud."Kita sama-sama mengasaskan parti. Jadi, soal itu tidak wujud," katanya ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan dasarnya memujuk MCA dan MIC untuk kekal dalam BN.Dalam perkembangan sama, Ka Siong berkata, beliau melihat ucapan dasar Ahmad Zahid yang menekankan soal perpaduan dalam UMNO dan rakan komponen amat penting dalam usaha memperkukuh gabungan tersebut."Sebagai parti komponen, kita sedia melihat apa usaha untuk menguatkan parti, dan itu akhirnya diterjemahkan oleh kekuatan UMNO," ujarnya lagi.Ka Siong turut memaklumkan keterbukaan parti itu untuk berbincang dengan mana-mana pihak berhubung agenda komuniti."Untuk Melayu dan Islam, mereka boleh berbincang dalam komuniti; kita sebagai MCA juga sedia berbincang, tidak ada isu."Tapi dalam konteks BN, itu gabungan yang lebih besar. Jadi, kita perlu melihat dari segi kepelbagaian dan realiti politik di mana ia merupakan masyarakat majmuk," tambahnya.Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika diminta mengulas kehadirannya pada PAU 2025, hanya berkata beliau akan berbuat demikian kemudian."Later, later," katanya ringkas.