SHAH ALAM – Pemerhati politik menyimpulkan bahawa penyatuan semula parti dan blok orang Melayu merupakan agenda penting yang digariskan dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, Ahmad Zahid menekankan bahawa UMNO adalah rumah bangsa, tempat untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu."Penekanan terhadap penyatuan dalam kalangan parti dan blok orang Melayu dilihat penting bagi menjamin kedudukan UMNO sebagai ‘rumah parti’ yang berteraskan Melayu-Islam, tanpa meminggirkan peranan Barisan Nasional (BN) sebagai wadah kepelbagaian dalam konteks negara."Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membawa mesej bahawa BN bukan sekadar pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berfungsi sebagai tiang seri kepada gabungan politik yang wujud hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Mengulas lanjut belau berkata, bagaimanapun usaha tersebut berdepan tiga cabaran besar dalam realiti politik semasa.Katanya, salah satu cabaran utama yang dikenal pasti ialah realiti politik rentas gabungan, realiti politik identiti Melayu dan kepintaran dalaman UMNO sendiri untuk memagari isu-isu sensitif yang berpotensi mengencat sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar."Cadangan penubuhan jawatankuasa penyatuan bangsa mencerminkan DNA UMNO sebagai parti yang menjunjung agenda perpaduan orang Melayu, selain membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali sama ada secara individu atau berkumpulan."Usaha ke arah penyatuan juga perlu digerakkan melalui musyawarah nasional bagi menghadapi kepelikan politik semasa, tanpa menafikan realiti politik perdana yang menuntut kompromi, rundingan dan kematangan dalam membuat keputusan."Pendekatan ini penting bagi memastikan agenda penyatuan mampu dilaksanakan secara berkesan dan membolehkan UMNO terus memegang amanah negara secara berterusan melangkaui tempoh tiga tahun," katanya.