KINABATANGAN - Bilangan satelit akan ditambah bagi memastikan penduduk di Kinabatangan, khususnya di pedalaman dapat menikmati akses liputan internet setanding kawasan bandar.Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, isu capaian internet yang lemah di kampung-kampung terpencil perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada pendidikan, ekonomi dan urusan harian penduduk."Saya akan pastikan mendesak kerajaan supaya rangkaian internet dibawa masuk ke kampung-kampung yang terpencil. "Bagi yang belum ada lagi buat masa ini, ada pelan jangka masa pendek memandangkan teknologi pun sudah berkembang dan Insya-ALLAH satelit internet ini akan ada."Walaupun kosnya mahal, saya cuba usahakan menggunakan peruntukan kerajaan yang diberikan atas kuasa jika saya menjadi wakil rakyat," katanya semasa berkempen di Kinabatangan.Beliau berkata, penggunaan teknologi satelit dilihat sebagai antara penyelesaian segera bagi mengatasi kekangan infrastruktur di kawasan pedalaman sementara menunggu pelaksanaan projek rangkaian internet secara menyeluruh.Usaha itu katanya, selari dengan keperluan semasa penduduk luar bandar yang semakin bergantung kepada akses internet untuk pembelajaran, perniagaan kecil dan perkhidmatan digital kerajaan.Bercakap mengenai isu infrastruktur, Mohd Naim memberi jaminan untuk meneruskan usaha memperbaiki akses jalan raya di kawasan luar bandar yang dianggap kritikal, khususnya bagi masyarakat yang bergantung kepada hasil laut dan sungai. Beliau mengambil contoh perjalanannya ke Kampung Karamuak yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau, membuktikan keadaan jalan yang teruk sehingga terus menjadi punca utama kesukaran hidup penduduk.Katanya, menjadi hasrat beliau untuk memastikan semua kawasan luar bandar mendapat akses darat yang lebih baik, seperti yang telah diusahakan oleh bapanya Datuk Seri B Bung Moktar Radin yang juga penyandang Parlimen Kinabatangan sebelum ini."Antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan ialah Jalan Sinaron, Jalan Penanga serta pembinaan Jalan Karamuak."Selepas prasarana asas selesai, cabaran berikutnya adalah meningkatkan ekonomi penduduk, terutama golongan nelayan sungai dan laut yang sering berdepan masalah dalam memasarkan hasil serta isu harga jualan yang tidak menentu," katanya.Jelasnya, antara komitmen dalam manifestonya adalah menubuhkan pusat pengumpulan hasil laut dan sungai di peringkat kampung. "Kemudahan itu bertujuan menyelaras, menyimpan dan memasarkan hasil penduduk ke pasaran lebih besar serta kompetitif," ujarnya. Beliau percaya, langkah itu bukan sahaja meningkatkan nilai jualan, malah membantu penduduk menikmati pulangan yang jauh lebih baik berbanding bergantung pada peraih setempat."Jika saya diberi mandat, saya akan memastikan hasil masyarakat kampung dapat dipasarkan dengan lebih meluas supaya mereka menikmati pendapatan yang lebih baik," ujarnya.