ATM rombak, tambah baik tatakelola

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melaksanakan langkah rombak dan rawat serta penambahbaikan berkaitan tatakelola pengurusan dan pentadbiran secara teratur, berfakta serta berlandaskan peruntukan undang-undang.Markas ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ATM yang dianggotai Panglima Tentera Laut selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Udara, telah meneliti secara menyeluruh isu semasa yang melibatkan ATM.Menurut kenyataan itu, perbincangan berkenaan mencerminkan kesepaduan kepimpinan tertinggi ATM dalam memastikan kestabilan institusi, keutuhan tatakelola serta keyakinan rakyat terhadap pasukan pertahanan negara terus terpelihara."Hasil perbincangan tersebut, JPP secara kolektif menegaskan pendirian bahawa ATM memandang serius isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa."JPP memohon agar semua pihak memberi ruang yang sewajarnya kepada ATM untuk memperbetulkan keadaan melalui mekanisme dan proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi yang boleh menjejaskan ketelusan usaha berkenaan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.JPP turut menyeru seluruh pegawai dan anggota ATM supaya kekal bersatu, berdisiplin serta menaruh keyakinan terhadap proses penguatkuasaan dan kerangka undang-undang sedia ada.Menurut kenyataan itu, sebarang penyaluran maklumat yang bersifat sensitif hendaklah dibuat melalui saluran sah dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan."Sehubungan itu, JPP menegaskan bahawa ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada undang-undang, peraturan atau nilai teras perkhidmatan dan yakin bahawa setiap isu akan ditangani secara adil, telus dan profesional melalui mekanisme yang sewajarnya," ujarnya.Bagi agensi penguatkuasaan undang-undang negara pula, JPP memohon agar semua pihak berkepentingan menitikberatkan keutuhan ATM sebagai sebuah pasukan keselamatan negara yang memikul amanah mempertahankan kedaulatan tanah air."Pendekatan yang seimbang, berprinsip dan berlandaskan undang-undang amat penting bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa menjejaskan kestabilan institusi strategik negara."ATM menghormati kebebasan orang awam untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi," menurut kenyataan itu.Bagaimanapun, penyebaran maklumat tidak sahih dan bersifat spekulatif, menurut ATM, berpotensi menimbulkan kekeliruan serta salah tafsir yang boleh menjejaskan imej institusi berkenaan."Justeru, kepimpinan ATM memberikan sepenuh komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berautoriti demi memastikan kebenaran ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap ATM terus terpelihara."JPP turut memberi jaminan bahawa ATM akan terus berdiri sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini serta kekal komited melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia tanpa sebarang kompromi," ujarnya.Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 pada 12 Januari lalu berkata, pihaknya merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini, termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras amalan terbaik tadbir urus.