SPRM sokong komunikasi strategik perkukuh Op Naga

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan sokongan kepakaran komunikasi kepada pasukan petugas Op Naga yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).Operasi keselamatan maritim itu bermatlamat membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal khususnya oleh Vesel Nelayan Asing (VNA) yang menceroboh perairan negara.Pasukan diketuai Maritim Malaysia ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan utama termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perikanan.Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, SPRM melalui BKS telah dijemput bagi memperkukuhkan strategi serta pelaksanaan komunikasi dalam Op Naga."Penglibatan BKS dalam operasi ini amat dihargai."Melalui pengalaman dan kepakaran kami, BKS akan menyokong usaha meningkatkan hebahan mengenai kejayaan operasi selain memperkukuh tahap integriti masyarakat, khususnya komuniti nelayan, dalam mempertahan kedaulatan perairan negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Tambahnya, usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia ini dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pengurusan tadbir urus yang baik, khususnya dalam kawalan keselamatan perairan negara.Op Naga yang dilaksanakan sejak 2019 menunjukkan komitmen menangani isu pencerobohan nelayan asing.Sementara itu, Maritim Malaysia dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, sejak 2019, Op Naga berjaya menahan 628 vesel serta 5,329 kru."Mengikut pecahan tangkapan, warga Vietnam paling ramai ditahan iaitu 469 orang, diikuti Indonesia (112 orang), Thailand (59 orang) dan China (10 orang)."Nilai rampasan pula mencecah ratusan juta ringgit," ujarnya.Jelas Maritim Malaysia, operasi ini membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan dan mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.Sebelum ini, isu pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam, pernah dibongkar SPRM melalui Op Armada bersama Maritim Malaysia pada 2017.Hasil operasi tersebut membawa kepada pemenjaraan selama tiga tahun dan denda RM1.75 juta terhadap seorang warga Vietnam pada 2019.