Dua individu ditahan bersama daun dan air ketum

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang wanita dan lelaki serta mematahkan dua kes pengedaran ketum dalam operasi berasingan di Machang dan Tumpat pada Jumaat.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan pertama melalui Op Taring Mitra pihaknya menahan seorang wanita berusia 29 tahun dan merampas 1,150 kilogram daun ketum di sebuah rumah di Kampung Hutan Kuin Hilir, Jalan Tanah Merah, Machang kira-kira jam 12.45 tengah hari."Serbuan dilakukan hasil maklumat awam sebelum kami menemukan bungkusan daun ketum bernilai RM46,000 di bahagian belakang rumah berkenaan."Turut dirampas ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza bernilai RM15,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM61,000," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Ujarnya, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang untuk tindakan lanjut.Sementara itu, dalam kes kedua, beliau memberitahu, melalui Op Taring Wawasan, PGA menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Jalan Bunohan, Tumpat kira-kira jam 3.30 petang pada hari sama.Menurutnya, tangkapan dilakukan apabila sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dipandu dalam keadaan mencurigakan."Hasil pemeriksaan di tempat duduk belakang sebelah kiri kenderaan itu menemukan sebuah beg berwarna kuning mengandungi 10 botol berisi air ketum berjumlah 15 liter bernilai RM450."Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Air ketum berkenaan dipercayai untuk dijual di sekitar Tumpat berdasarkan keterangan suspek," katanya.Tambahnya, kesemua tangkapan dan barang rampasan dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tumpat bagi siasatan lanjut.