'Kalau Ketua Menteri suruh letak jawatan, saya letak jawatan' – Exco DAP Melaka

MELAKA - "Kalau Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh suruh saya letak jawatan, saya akan letak jawatan."Demikian ujar Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah daripada DAP.Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan yang akan diambil susulan pengumuman Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang melepaskan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan selepas mendapat desakan beberapa pihak.Menurut Allex, jawatan yang disandangnya ketika ini adalah hasil pelawaan Ketua Menteri Melaka atas semangat memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta mendapat restu pucuk pimpinan DAP, termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.Tegas beliau, jawatan tersebut tidak akan dilepaskan hanya kerana desakan mana-mana pihak sama ada daripada pembangkang atau pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Perpaduan."Dalam mana-mana kerajaan negeri, sekiranya seseorang Exco itu tidak lagi mendapat kepercayaan Ketua Menteri, Menteri Besar atau parti sendiri, jawatan tersebut akan digugurkan secara automatik."Jadi, selagi tiada permintaan daripada pucuk pimpinan parti dan Ketua Menteri, isu ini tidak timbul walaupun ada pihak cuba membangkitkan sentimen politik," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Porsche di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini pada Sabtu, sebagai menjawab pertanyaan media mengenai pendirian DAP sekiranya diminta melepaskan jawatan oleh Ketua Menteri.Terdahulu, media melaporkan Pas Melaka menggesa DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka dengan melepaskan jawatan Ecodan Timbalan Speaker DUN Melaka.Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik berkata, ia selari tindakan berprinsip Dr Akmal yang meletak jawatan Exco Melaka secara sukarela.Allex berkata, fokus utamanya kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Melaka."Apa yang penting ialah kita menumpukan kerja untuk masyarakat, mengurangkan sentimen politik dan terus memperkukuh perpaduan supaya kerajaan ini kekal stabil," katanya.Pada Khamis, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Melaka.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, peletakan jawatan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP.