KULIM – Pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai adalah langkah memastikan rakyat di Kedah selatan mudah mendapat akses kepada pelbagai manfaat yang disediakan Kerajaan Persekutuan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembukaan pusat khidmat tersebut bukanlah petanda bahawa beliau akan bertanding di kawasan berkenaan.Menurutnya, beliau masih belum membuat keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)."Tidak, itu terlalu awal untuk saya tentukan kerusi. Saya ada pejabat di Alor Setar sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, jadi di Kedah selatan kita buka pusat khidmat supaya rakyat lebih mudah mendapat akses."Saya boleh jadi bertanding, boleh jadi tidak. Boleh jadi di sini, boleh jadi tempat lain. Jadi masih terbuka semua," katanya pada sidang akhbar pada malam Jumaat.Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Padang Serai, di sini.Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah itu sebelum ini pernah menang di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada PRU14, namun tewas pada PRU15.Sementara itu dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, sebagai pembangkang di Kedah, PKR perlu memainkan peranan yang lebih efektif dengan bukan sekadar mengkritik kerajaan negeri, tetapi turut menawarkan penyelesaian terhadap masalah rakyat.Menurutnya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah yang diadakan pada Jumaat bertujuan memperkemas gerak kerja parti agar lebih tersusun."Berbeza di Pusat, di Kedah kita adalah pembangkang. Jadi kita perlu memainkan peranan semak dan imbang dengan organisasi yang kemas dan maklumat tepat."Selepas tiga tahun sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, saya boleh pantau pencapaian projek Kerajaan Persekutuan. Jika ada masalah kerana membabitkan kerajaan negeri, kita akan sampaikan," ujarnya.