KUALA LUMPUR – Penyatuan parti-parti politik Melayu dan usaha membawa pulang ahli yang telah tersasar daripada landasan perjuangan UMNO merupakan langkah penting bagi meningkatkan sokongan orang Melayu sekurang-kurangnya kepada 51 peratus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, UMNO perlu keluar daripada sindrom penafian dan menerima hakikat bahawa landskap politik semasa menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu kini berpecah."Dalam konteks politik Melayu, kita mempunyai UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan gabungan politik berteraskan pelbagai kaum seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta lain-lain."Ini jelas menunjukkan bahawa sokongan Melayu kini terbahagi. Oleh itu, angka 28 peratus ini adalah satu realiti yang perlu diteliti secara serius."Sekiranya kita masih berada dalam sindrom penafian menjelang PRU16, UMNO berisiko dihukum seperti yang berlaku pada PRU15," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.Sebelum ini, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat menggesa UMNO agar bangkit dan keluar daripada nostalgia kegemilangan parti itu memandangkan sokongan orang Melayu kini hanya sekitar 28 peratus.Menurut beliau dalam hantaran di Facebook pada Jumaat, UMNO perlu menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu terhadap parti itu semakin merosot.Ujar Armand Azha, ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2025 diharap mampu membawa hala tuju baharu dan meniupkan nafas segar kepada perjuangan parti.Menurutnya, ucapan tersebut perlu memberi penjelasan yang jelas mengenai peranan setiap peringkat parti, khususnya sayap Pemuda UMNO, dalam memperkukuhkan gerak kerja akar umbi menjelang PRU16."Suara Pemuda UMNO adalah suara akar umbi parti. Walaupun ia tidak mewakili keseluruhan parti, pandangan yang dibawa perlu diberi perhatian dan diperhalusi oleh kepimpinan tertinggi," ujar beliau.Sementara itu, Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, ucapan dasar Ahmad Zahid pada Jumaat memberikan mesej bermakna di mana parti keramat itu bakal mencecah usia 80 tahun menjelang tahun ini.Ujar beliau, pada ucapan tersebut, Ahmad Zahid secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membuka ruang dan peluang kepada pihak tertentu untuk kembali menyertai UMNO."Ruang itu diberikan khususnya kepada ahli parti dan pimpinan yang suatu ketika dahulu merupakan pemimpin besar UMNO, untuk kembali bersama-sama parti bagi meneruskan wadah perjuangan."Ini kerana bagi kami, sebuah parti yang berusia lebih 70 tahun dan bakal mencecah 80 tahun ini telah banyak berjasa kepada negara, bangsa dan agama," ujarnya.Dalam pada itu, Perwakilan UMNO Hulu Langat, Suryady Abdul Jalil berkata, ucapan penggulungan PAU kali ini turut diharap dapat menjadi pemangkin dan suntikan semangat kepada seluruh ahli parti di peringkat bahagian serta akar umbi"Ia bukan sahaja untuk ahli UMNO tetapi kepada semua masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini."Dari segi gerak kerja dan strategi kita bagi memastikan apa yang kita rancang berjalan dengan lancar, demi kelangsungan serta keberadaan orang Melayu pada masa akan datang," kata beliau.