KULIM – Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan yang ditahan polis awal pagi Sabtu akan dibebaskan selepas rakaman percakapannya diambil bagi membantu siasatan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail telah memaklumkan perkembangan kes tersebut kepadanya pada pagi Sabtu.Menurutnya, selepas dibebaskan, bekas wartawan itu boleh dipanggil pada bila-bila masa sekiranya diperlukan untuk melengkapkan siasatan,"Bekas wartawan itu akan dibebaskan selepas polis merakam percakapannya. Siasatan masih dijalankan dan apabila lengkap, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.Beliau berkata demikian mengulas laporan media berkenaan Rex Tan, 31, ditahan polis susulan soalan kontroversi yang dibangkitkan dalam satu wacana awam pada Isnin lalu.Isu berkenaan timbul selepas seorang bekas ahli Parlimen dari United Kingdom hadir dalam wacana awam dan ditanya mengenai perbandingan antara situasi Palestin dengan layanan terhadap komuniti Cina di Malaysia.Terdahulu, Saifuddin Nasution ditemui selepas Majlis Penyerahan Inden Projek Mesra Rakyat di Kulim Hi-Tech Park di sini.Jelas beliau, sebagai rakyat Malaysia prinsip kebebasan bersuara perlu sentiasa dihormati, namun kebebasan itu mesti disertai dengan rasa tanggungjawab khususnya dalam kalangan pengamal media.Katanya, dalam insiden berkenaan, organisasi media yang diwakili wartawan terbabit sendiri menegaskan bahawa pandangan atau soalan yang dibangkitkan tidak mencerminkan pendirian syarikat dan turut tampil membuat permohonan maaf."Jawapan daripada bekas ahli Parlimen itu jelas, perbandingan tersebut tidak kena sama sekali sepanjang beliau mengenali Malaysia. Beliau turut menghuraikan pandangannya," ujarnya.Tambah beliau, keadaan menjadi perhatian apabila seorang wartawan tempatan menyuarakan pandangan berbeza secara terbuka sehingga mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.Menurutnya,susulan aduan yang diterima, polis perlu mempertimbangkan langkah seterusnya sebagai sebahagian daripada proses siasatan."Apabila ada aduan, polis perlu menimbangkan tindakan selanjutnya. Itu adalah proses pertama. Saya percaya wartawan terbabit akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa," katanya lagi. Rex Tan sudah dibebaskan KUALA LUMPUR - Bekas wartawan portal yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam rakaman video berkaitan isu Palestin yang mencetuskan kegusaran masyarakat sebelum ini telah dibebaskan.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki terbabit telah dibebaskan setelah direkod keterangan sejak tengah malam tadi."Polis telah merakam keterangan beliau sejurus selepas ditahan untuk siasatan yang dijalankan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis. "Polis juga telah merampas telefon bimbit milik individu terbabit untuk siasatan lanjut," katanya pada Sabtu.Dalam pada itu, Peguam individu berkenaan, Rajsurian Pillai berkata, lelaki itu dibebaskan kira-kira jam 1.15 tengah hari. Namun jelasnya, telefon serta kad sim milik bekas wartawan itu telah dirampas pihak polis.Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan tiga laporan telah dibuat berhubung penularan video memaparkan pertanyaan wartawan terbabit dalam wacana terbuka pada 12 januari lalu mengenai isu palestin dengan membandingkan keadaan perkauman di Malaysia.Soalan itu ditanya dalam satu ceramah awam di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, bertajuk "Gaza Exposes the Complicity of International Actors".Susulan itu M Kumar mengesahkan individu terbabit telah ditahan selain siasatan dijalankan berhubung kes itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Leseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.