Bekas wartawan FMT ditahan: Beri gambaran kurang baik terhadap kerajaan - MMM

SHAH ALAM - Tindakan keras kepada wartawan bukan sahaja mempunyai kesan penegahan atau 'chilling effect' ke atas industri media dan perbincangan awam, malah memberikan gambaran kurang baik terhadap kerajaan yang berkali-kali menyatakan komitmen untuk mempertahankan kebebasan bersuara serta akhbar.Majlis Media Malaysia (MMM) berkata, bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan telah membuat permohonan maaf terbuka, meletak jawatan daripada organisasi berita diwakilinya sebagai bentuk tanggungjawab ke atas tindakannya serta menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan pihak polis.MMM berpendapat bahawa dalam konteks sedemikian, penahanan dan penangkapan ke atasnya dilihat tidak perlu, sebaliknya bersifat menghukum."Pada asasnya, kes ini menimbulkan persoalan berat tentang risiko yang dihadapi pengamal media. Adakah seorang wartawan boleh dikira telah melakukan tindakan menghasut atau mengganggu ketenteraman awam hanya dengan bertanya soalan dalam forum awam?"Kejadian seperti ini mendedahkan risiko kerjaya dan undang-undang yang dihadapi wartawan di Malaysia, termasuklah kemungkinan disiasat, ditahan dan dikenakan pelbagai bentuk hukuman lain dalam melunaskan tanggungjawab kewartawanannya."Risiko sebegini boleh menimbulkan tekanan psikologi serta profesional yang teruk di samping menggugat kebolehan seorang wartawan untuk bekerja dengan bebas dan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Rex, 31, ditahan polis awal pagi tadi susulan soalan kontroversi dikemukakannya dalam satu wacana awam bertajuk 'Gaza Exposes the Complicity of International Actors' yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway pada Isnin lalu.Pemuda terbabit yang meletakkan jawatan pagi semalam, ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.Peguamnya, P Rajsurian mengesahkan penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dengan siasatan dikendalikan oleh Bukit Aman.Terbaharu, Rajsurian memaklumkan bahawa Rex dibebaskan sekitar jam 1 tengah hari tadi.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail telah memaklumkan perkembangan kes tersebut kepadanya pada pagi Sabtu.Menurutnya, selepas dibebaskan, bekas wartawan itu boleh dipanggil pada bila-bila masa sekiranya perlu untuk melengkapkan siasatan.