217 PATI ditahan di dua pusat beli-belah

KUALA LUMPUR – Seramai 217 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan secara berasingan dalam operasi yang dijalankan di dua pusat beli-belah sekitar ibu negara pada Sabtu.Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 2 petang itu dilaksanakan di pusat beli-belah Kotaraya, Kuala Lumpur dan Galaxy Ampang, Selangor yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warga asing."Seramai 876 individu diperiksa membabitkan 652 warga asing dan 224 warga tempatan di pusat beli belah Kotaraya."Manakala, seramai 654 individu diperiksa terdiri daripada 394 warga asing dan 260 warga tempatan di pusat beli-belah Galaxy Ampang, menjadikan keseluruhan 1,530 individu diperiksa," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Sabtu.Lokman Effendi berkata, hasil pemeriksaan, seramai 217 PATI berusia 21 hingga 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen."Mereka yang ditahan terdiri daripada 55 lelaki dan 162 wanita, warga asing itu berasal dari Indonesia, Nigeria, Pakistan, Bangladesh, Filipina, India, Myanmar dan Nepal," katanya.Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, terdapat warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa."Kita turut mengesan cap keluar masuk Malaysia yang tidak teratur serta penemuan MyKad disyaki palsu yang kemudian diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk siasatan lanjut."Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, memiliki kad yang tidak diiktiraf serta pelbagai kesalahan lain," katanya.Beliau berkata, seramai 120 pegawai imigresen pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama 13 pegawai JPN Putrajaya terlibat dalam operasi berkenaan."Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Beranang dan KLIA bagi siasatan serta tindakan lanjut," katanya.