PUTRAJAYA – Konsulat Jeneral Malaysia segera melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan sejurus menerima laporan kehilangan seorang warganegara Malaysia di Jeddah sejak 15 Januari lalu.Kementerian Luar Negeri memaklumkan, sebaik laporan diterima, Konsulat Jeneral telah menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu berkenaan.Menurut kenyataan itu, tindakan awal berkenaan diambil bagi memastikan maklumat penting dapat dikenal pasti dengan segera selain membolehkan kerjasama rapat dijalinkan bersama pihak berkuasa Arab Saudi."Pada 16 Januari lalu, Konsulat Jeneral turut memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan dan rakan kongsi tempatan mereka di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan yang ditetapkan di Arab Saudi."Sehingga 17 Januari lalu, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dilaporkan terus berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyegerakan usaha pencarian terhadap individu terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Katanya, dalam tempoh sama, bantuan konsular turut diberikan kepada waris mangsa, selain pihak Konsulat Jeneral sentiasa mengekalkan hubungan rapat dengan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini kes berkenaan.Kementerian Luar Negeri menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan dan keselamatan setiap warganegara Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.Bagaimanapun, kementerian memaklumkan bahawa sebarang butiran terperinci dan perkembangan lanjut kes ini hanya akan dikongsikan kepada ahli keluarga terdekat sahaja bagi menghormati privasi pihak terlibat.Menurut kenyataan itu, prinsip tidak mendedahkan maklumat kepada pihak yang tidak berkaitan adalah penting bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar, selain mengelakkan sebarang kekhilafan fakta yang boleh menjejaskan siasatan."Langkah ini diambil demi mencapai keputusan terbaik dalam usaha mengesan individu terbabit."Orang ramai khususnya warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, diminta menghubungi Kementerian Luar Negeri atau Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui talian +966-12-6727740, +966-12-6728019 atau +966-12-6760877," katanya.Jelas kenyataan itu lagi, maklumat juga boleh disalurkan menerusi emel rasmi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di alamat mwjeddah@kln.gov.my.Terdahulu, pelakon, Nadia Kesuma dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi pada Khamis lalu, dikesan telah meninggalkan negara tersebut.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak Konsulat Malaysia di Jeddah telah mengesahkan individu berkenaan keluar dari kawasan lapangan terbang selepas tiba di Arab Saudi.Menurut beliau, pihak Konsulat telah berhubung rapat dengan polis dan imigresen tempatan bagi menjejaki pergerakan Nadia Kesuma, selain laporan polis tempatan turut dibuat bagi membantu usaha pencarian.Beliau berkata, ini bermakna Nadia sudah melepasi kawasan lapangan terbang.Laporan polis tempatan telah dibuat, namun mengikut peraturan di sana, laporan orang hilang hanya boleh diklasifikasikan selepas tempoh 20 jam.Sebelum ini, media turut melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis.Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada Jumaat.Suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.