Kini bukan masa bersentimen, rakyat melihat 'performance' - Wanita UMNO

KUALA LUMPUR – UMNO mesti membuktikan kesungguhan untuk berubah, di samping melaksanakan transformasi dan membuka ruang suara akar umbi.Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, parti itu berada dalam fasa politik realiti, bukan politik nostalgia dan pengundi juga tidak mudah termakan dengan retorik politik. "Pengundi ingin melihat peluang dan apa yang kita boleh tawar pada masa hadapan. Kini bukan masa bersentimen, kini adalah untuk rakyat melihat 'performance'. Wanita faham dan terima hakikat ini. "Perjuangan UMNO tidak pernah layu dimamah zaman. Tidak pernah luntur walau diuji badai," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Ahad. Dalam pada itu katanya, wanita menyambut baik harapan Presiden yang mahu menjadikan UMNO sebagai Rumah Bangsa. Ujarnya, Wanita UMNO akan memberi sokongan padu untuk menjayakan agenda ini. "Di peringkat wanita, kami akan menggembeling segala usaha dan tenaga menarik semula sokongan daripada segenap lapisan masyarakat," katanya. Dalam pada itu beliau berkata, Wanita UMNO mengalu-alukan cadangan diwujudkan sekolah digital bagi mengukuhkan lagi jentera parti terutamanya di media sosial. Katanya, Wanita UMNO akan fokus kepada dua pendekatan iaitu pertama 'Heartware' yang membawa makna sentuhan hati, sentuhan perasaan, sentuhan rakyat; kedua 'Hardware', kekuatan teknologi. "Kami Wanita UMNO akan menubuhkan skuad khas digital sebagai barisan hadapan bagi menghadapi peperangan di dunia siber. Wanita tidak boleh kalah, wanita tidak boleh lagi tewas dalam persaingan media sosial ini," katanya.