34 projek sakit PR1MA siap sepenuhnya menjelang Mac ini

GEORGE TOWN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan semua projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit atau terbengkalai dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Mac ini.Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketika mula diberi amanah menerajui kementerian itu, sebanyak 34 projek PR1MA berada dalam status projek sakit dan terbengkalai, namun hasil komitmen bersama perbadanan itu, kesemua projek berkenaan kini berjaya disiapkan sepenuhnya."Waktu saya ambil alih, ada 34 projek (PR1MA) sakit tetapi saya dengan aku janji bersama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Brian Iskandar Zulkarim yang menjelang Hari Raya tahun ini, iaitu Mac nanti kesemua 34 projek ini siap sepenuhnya 100 peratus."Semua projek itu memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta kunci akan diserahkan kepada pembeli, sekali gus memastikan tiada lagi projek PR1MA berstatus sakit," katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Mampu Milik Ideal Venice Residency, di sini hari ini.Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ideal Property Group, Tan Sri Alex Ooi serta 20 pemilik rumah yang akan menerima kunci kediaman baharu mereka.Kor Ming menyifatkan pencapaian itu sebagai permulaan baharu bagi sektor perumahan negara, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memulakan 2026 dengan lebih berdaya maju.Sementara itu, Brian Iskandar yang ditemui Bernama selepas majlis itu berkata daripada 33 projek telah siap sepenuhnya manakala hanya satu masih dalam fasa akhir.Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan dengan lebih lanjut memandangkan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac..Projek Ideal Venice menawarkan 1,632 unit kediaman berkonsepkan kondominium pada harga RM300,000 seunit dengan setiap unit berkeluasan 850 kaki persegi dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta balkoni peribadi.Perumahan itu turut dilengkapi kemudahan premium merangkumi kolam renang, pavilion BBQ, stesen senaman, ruang santai keluarga, gimnasium, gelanggang bola keranjang dan badminton.Sementara itu, Kon Yeow berkata, menerusi Visi Penang 2030, sasaran pembekalan 220,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang 2030 telah mencapai 170,706 unit bersamaan 77.35 peratus dan bagi skim sewa beli atau Rent-To-Own (RTO), sebanyak 5,096 unit telah direalisasikan daripada sasaran 22,000 unit.Beliau berkata untuk Pembaharuan Semula Bandar (PSB), sebanyak enam projek melibatkan 6,840 unit telah dikenal pasti, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 keluarga."Pencapaian itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menangani isu perumahan secara menyeluruh dan mampan serta negeri ini sentiasa komited dan prihatin terhadap peningkatan kualiti hidup rakyat."Justeru, aspek perumahan terus diberikan keutamaan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah membabitkan kumpulan B40 dan M40. Pelbagai dasar, inisiatif serta mekanisme pelaksanaan telah dirangka dan dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan peluang pemilikan rumah dapat diakses secara adil dan inklusif oleh rakyat negeri ini," katanya. - Bernama