Ahmad Zahid cadang bentuk kolaborasi agung, satukan parti Melayu-Islam

KUALA LUMPUR - UMNO bercadang untuk membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini.Cadangan membentuk satu kerangka gabungan lebih besar itu disuarakan sendiri Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.Beliau bagaimanapun menegaskan, kolaborasi itu sama sekali tidak berniat menggugat Kerajaan Perpaduan sedia ada, sebaliknya bertujuan menyatukan roh dan perjuangan parti Melayu dan Islam dalam kerangka lebih besar."Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jangan risau. Saya tidak akan ada agenda untuk tebuk atap atau mahu menggugat Kerajaan Perpaduan, tetapi semata-mata bertujuan menterjemah keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Melayu dan Islam di bawah satu bumbung demi menterjemah agenda Islam dan Melayu."Saya mohon persetujuan perwakilan untuk membentuk gabungan besar bagi menyatukan seluruh parti politik Melayu-Islam dalam satu gabungan, dengan tidak berhajat menggugat kerajaan perpaduan yang ada," katanya.Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan, UMNO tidak mahu mana-mana parti yang akan menganggotai kolaborasi itu membubarkan parti mereka, sebaliknya bersama secara tidak rasmi terlebih dahulu bagi langkah awal dan menjadikannya sebagai satu gabungan besar.Ahmad Zahid menambah, terdapat pihak yang sudah merisik dan meminang UMNO untuk kerjasama lebih rapat.Jelasnya, beliau secara terbuka menerima risikan itu dengan syarat ia tidak mengganggu kestabilan kerajaan perpaduan."Apa yang saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang. Dengan ini, risikan itu diterima secara rasmi dengan syarat tidak mengganggu kerajaan perpaduan," katanya.