Dua parti dipimpin bekas ahli mohon sertai semula UMNO - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - UMNO menerima dua permohonan penyertaan secara en bloc, termasuk daripada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang diterajui bekas ahli parti itu, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, satu lagi permohonan melibatkan sebuah parti lain, namun enggan menamakan parti berkenaan.Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan Kadir yang menyatakan hasrat menyerahkan Ikatan untuk diserapkan ke dalam UMNO."Saya sudah bercakap dengan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang mahu menyerahkan partinya kepada kita untuk diserapkan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.Ahmad Zahid berkata, semua permohonan penyertaan itu akan diteliti Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang diumumkan penubuhannya semalam.Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan bagi memastikan setiap permohonan diurus dan diputuskan mengikut peraturan dan Perlembagaan UMNO.Mengulas kebimbangan ahli UMNO mengenai kemungkinan bekas ahli parti dicalonkan pada pilihan raya akan datang, Ahmad Zahid menegaskan keputusan muktamad terletak di bawah bidang kuasanya."Semalam, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan dialog dengan beberapa ahli UMNO yang menyuarakan kebimbangan berkaitan perkara itu. Insya-ALLAH, saya masih Pengerusi Barisan Nasional yang akan menandatangani watikah pencalonan, jadi keputusan adalah di tangan saya."Walaupun kerusi berkenaan sebelum ini dimiliki mereka, sekiranya menyertai UMNO, saya tetap akan membuat keputusan mengenai calon yang akan bertanding," katanya.Semalam, ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi meneliti dan mempertimbangkan kemasukan semula serta penyertaan mana-mana individu atau kumpulan secara en bloc ke dalam UMNO. - Bernama