Mangsa samun nekad kejar suspek sampai terbabas

JOHOR BAHRU - Seorang remaja lelaki bersama teman wanitanya menjadi mangsa samun di Bandar Jaya Putera di sini sebelum bertindak mengejar suspek dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Jumaat lalu.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 18 tahun membuat laporan polis kira-kira jam 4.45 pagi pada hari kejadian."Berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mangsa yang bekerja sebagai pelayan bersama teman wanitanya berusia 19 tahun berada di dalam kereta yang diparkir di kawasan sunyi."Dua suspek menaiki motosikal berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran telah mendekati mangsa, meminta kad pengenalan dan mengugut menggunakan objek yang menyerupai alat renjatan elektrik (taser)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurut Raub, suspek kemudiannya melarikan dua unit telefon bimbit jenama iPhone serta sebuah dompet mengandungi dokumen peribadi dan kad bank, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM7,000."Mangsa mengejar suspek dan motosikal yang ditunggang suspek terbabas selepas kereta dipandu mangsa melanggar mereka ketika cubaan membuat pusingan U, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian."Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," ujarnya.Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan.Terdahulu, tular rakaman video dari papan pemuka kereta yang memaparkan sebuah motosikal dipandu laju sebelum dilanggar sebuah kereta dan terbabas.