PKR Perak saring 157 calon isi 64 kuota Ahli Majlis PBT

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyaring seramai 157 calon berpotensi bagi mengisi 64 kuota Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperuntukkan kepada parti itu dalam Kerajaan Perpaduan negeri.Timbalan Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing berkata, proses saringan menerusi sesi temuduga itu merupakan amalan yang telah dilaksanakan parti berkenaan sejak tahun 2014 sebagai langkah memastikan pelantikan dibuat secara telus dan berasaskan merit.Menurutnya, tradisi temuduga bukan sahaja melibatkan jawatan Ahli Majlis PBT, malah turut merangkumi calon-calon berpotensi bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen."Sejak 2014, setiap kali pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan juga pelantikan jawatan politik, PKR Perak akan melaksanakan proses temuduga terlebih dahulu."Cadangan nama calon biasanya dikemukakan oleh cabang serta sayap parti seperti AMK (Angkatan Muda Keadilan) dan Wanita sebelum MPN (Majlis Pimpinan Negeri) membuat keputusan berdasarkan senarai yang diterima," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Kar Hing berkata, tiada sebarang perubahan melibatkan pengagihan kuota Ahli Majlis dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan sekali gus mengekalkan 64 kuota kepada PKR di semua PBT di Perak.Daripada jumlah itu, seramai 157 calon telah dikemukakan oleh cabang dan sayap parti untuk melalui proses temuduga yang diadakan dalam dua sesi iaitu seramai 132 calon menjalani temuduga pada Sabtu manakala baki calon akan ditemuduga pada Khamis minggu hadapan.Tan Kar Hing berkata, sesi temuduga itu dikendalikan oleh 11 panel penemuduga dalam kalangan pimpinan negeri yang diketuai oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Mohd Azlan Helmi.Menurutnya, calon-calon dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya pengalaman dalam khidmat masyarakat, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran komunikasi yang diperlukan sebagai seorang Ahli Majlis."Setiap calon akan diberikan skor dan daripada situ kita akan membuat senarai pendek sebelum membincangkan kesesuaian mereka mengikut kuota PBT yang ada."Selain memilih calon yang sesuai sebagai Ahli Majlis, proses ini juga membolehkan parti mengenal pasti bakat lain yang berpotensi untuk diserap dalam peranan berbeza, contohnya dalam bidang media sosial, teknologi atau kejuruteraan," jelasnya.Beliau berharap amalan tersebut diteruskan bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terbuka serta memberi peluang kepada lebih ramai individu termasuk muka baharu dan mereka yang belum pernah memegang jawatan Ahli Majlis.