'Sekarang masa saya memberi' - M Nasir

PADA usia 69 tahun, Datuk M Nasir membuktikan bahawa seni tidak mengenal angka, dan keikhlasan tidak pernah menua.Selama lebih dua jam tanpa henti, penyanyi dan maestro muzik negara itu menguasai pentas Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Konsert Amal Gendang Pati pada Sabtu.Sebuah persembahan berskala mega yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh jiwa lebih 5,000 penonton, menyaksikan 20 lagu malar segar dipersembahkan dengan disiplin seni yang tinggi, penuh roh dan makna.Tanpa kehadiran penyanyi jemputan dan tanpa selingan hiburan kosong, konsert berkonsepkan amal dan pendidikan seni itu berdiri utuh atas nama M Nasir semata-mata.Satu pencapaian luar biasa yang jarang dapat disaksikan dalam landskap muzik semasa.Dengan iringan 30 pemuzik profesional serta mahasiswa Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, persembahan legenda itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi manifestasi kematangan seni, keteguhan idealisme dan kecintaan terhadap ilmu serta budaya.Setiap dentuman gendang, bait lirik dan susunan muzik memperlihatkan mengapa M Nasir terus diangkat sebagai tokoh seni Nusantara yang berpengaruh merentasi generasi.Ketika berinteraksi bersama penonton, pemilik nama sebenar Mohd Nasir Mohamed ini berkata, selepas lebih empat dekad dalam industri seni, beliau kini memilih untuk memberi kembali kepada dunia yang telah banyak membesarkan namanya."Empat puluh tahun dalam industri, dah banyak yang saya terima. Sekarang ini masa saya nak memberi pula. Terima kasih kepada semua pihak yang beri idea untuk saya buat konsert ini," katanya disambut sorakan gemuruh penonton.Beliau turut menyatakan hasrat untuk membawa pelajar-pelajar UPSI terlibat dalam Konsert Cipta IV yang akan datang.Antara lagu yang dipersembahkan dalam konsert amal ini termasuklah karya ikonik seperti Pawana, Phoenix Bangkit, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Langgam Pak Dogol, Melawan Arus, Apokalips, Mentera Semerah Padi dan Kias Fansuri.Persembahan turut diserikan dengan kumpulan muzik Gong pimpinan Pengarah Muzik, Aznan Alias yang membawakan lagu popular seperti Sentuhan Listrikmu, Rajawali Terbang Tinggi, Yang Bertakhta Akhirnya dan Raikan Cinta.Konsert amal tersebut merupakan kesinambungan kepada konsert ikonik Gendang Pati yang pernah dipentaskan lebih dua dekad lalu, namun kini diberi nafas baharu selari dengan konteks pendidikan universiti dan perkembangan industri muzik semasa.Hasil jualan tiket yang berjaya mengutip lebih RM500,000 disalurkan ke Tabung Endowmen UPSI bagi menyokong dana wakaf pendidikan dan biasiswa, khususnya untuk membantu pelajar muzik berbakat melanjutkan pengajian.Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pemilihan M Nasir sebagai artis utama adalah tepat kerana karya-karya beliau sarat dengan nilai keinsanan, ketuhanan, kehidupan serta jati diri bangsa."Lagu-lagu beliau mengangkat budaya, maruah bangsa dan identiti kita. Sebab itu kita pilih M Nasir untuk konsert amal ini. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengajaran dan pegangan hidup," katanya.Mengulas pemilihan lagu beliau berkata, kebanyakannya dipilih oleh M Nasir sendiri, namun selari dengan aspirasi UPSI sebagai medan perjuangan pendidikan dan budaya Nusantara."UPSI bermula sebagai medan perjuangan bangsa. Jadi lagu-lagu yang dipilih malam ini membawa intipati budaya, kebanggaan diri, maruah bangsa dan pembebasan minda," katanya.Konsert itu turut mencatat kehadiran penonton dari seluruh negara termasuk Sarawak dan Singapura, selain wakil-wakil kedutaan asing seperti Iran dan Iraq, mencerminkan daya tarikan seni M Nasir di peringkat antarabangsa.M Nasir menjadi artis solo pertama yang mengadakan konsert berskala besar di UPSI selepas beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 pada tahun 2024.